“KALAU kamu nak jaga mak, kamu bawa la
mak pergi bersama. Jangan susahkan kitorang dulu,” mulut lancang Hamidah
membuatkan air mata Sarimah mengalir membasahi pipi. Dia sekadar berselindung
di sebalik pintu ruang tidurnya.
“Untuk
2 hari je. Fazil kena outstation
dulu. Takkan la cuti 2 hari pun akak dengan abang tak boleh ambil,” kata Fazil.
“Kamu
pergi la outstation kamu tu. Malam ni
juga akak kena sampai ke Johor. Takkan kami nak tinggal sini lagi. Kamu tengok
la anak-anak akak yang nak sekolah esok. Takkan suami akak nak uruskan lagi.
Dia pun ada kerja dia,” Hamidah masih berkeras.
“Kalau
senang, tinggalkan mak sorang-sorang dulu. Lepas 2 hari, kamu datang ambil
mak,” cadang Mahad, anak sulung Sarimah.
Sarimah
mengesat air matanya dengan hujung lengan bajunya. Kubur suaminya masih merah.
Baru semalan tahlil arwah yang terakhir sudah selesai, namun anak-anaknya sudah
mahu pulang ke rumah masing-masing.
“Mana
boleh tinggalkan macam tu je. Kenduri arwah baru je selesai. Mak tak boleh
sorang-sorang. Kalau Fazil nak ambil mak, mak nak duduk dengan siapa kat rumah
Fazil selama Fazil outstation,” Fazil
masih cuba memujuk kakak dan abangnya. Baginya, ibunya tidak boleh ditinggalkan
sendirian.
“Tak
apalah. Kamu semua boleh balik. Mak boleh tinggal kat sini. Inilah teratak
hidup mati mak,” Sarimah yang muncul mula bersuara.
“Ha...
Kamu dengar sendiri. Mak sendiri pun tak nak ikut. Yang kau sibuk-sibuk sangat
nak bawa mak ke KL tu buat apa,” kata Hamidah sehinggakan menusuk ke dalam hati
seorang ibu. Namun ditahan juga perasaannya.
“Mak,
mak kena ikut juga. Fazil tak boleh biarkan mak sorang-sorang,” Fazil
menggenggam erat tangan ibunya. Sarimah menggosok kepala Fazil. Dia tersenyum.
Inilah satu-satunya anak yang boleh diharap berbanding dengan dua lagi anaknya.
“Tak
apalah. Mak tak nak membebankan kamu semua.”
Fazil
mengeluh.
“Macam
ni la mak. Fazil janji akan datang balik nak jemput mak tinggal bersama Fazil.”
“Tak
usahlah Fazil. Mak nak tinggal kat sini sampai mak mati,” kata Sarimah.
Hamidah
dan Mahad sudah berkemas-kemas untuk bertolak sekejap lagi.
“Sudahlah.
Akak takut akak terlambat pula nak balik Johor. Suami akak dengan anak-anak ada
kat rumah tu tengah tunggu,” Hamidah menegur adiknya.
“Bukannya
jauh Johor dengan Melaka. Takkan tak boleh tunggu sekejap lagi,” Fazil cuba
menghalang.
“Eh,
kau tengok dah nak pukul berapa. Nak dekat pukul 7. Lagi lambat akak bertolak,
lagi malamlah akak sampai.”
“Abang
pun tak boleh berlama juga kat sini. Esok abang kerja. Dah berapa hari abang
kat sini. Marah-marah pula Kak Nita kamu kat Perak tu. Nanti penat abang nak
bekerja esok,” Mahad yang banyak mendiamkan diri turut mencelah.
Fazil
mengeluh sekali lagi. Sarimah menyeka air matanya.
“Nak,
jangan risaukan mak kat sini. Mak boleh jaga diri mak. Kamu pergilah selesaikan
hal kamu,” Sarimah tidak mahu mendesak Fazil.
“Maafkan
Fazil mak,” Fazil memohon ampun dari ibunya. Sarimah sekadar mengangguk.
Hamidah
menyalami Sarimah lalu menuruni anak tangga rumah yang bakal roboh nanti. Mahad
juga turut melakukan perkara yang sama.
Setelah
kedua-dua anaknya berlalu meninggalkannya, Sarimah memandang Fazil sambil
mengukir senyuman duka.
“Fazil,
jangan tunggu lagi. Mak selamat di sini,” pujuk Sarimah cuba meyakinkan
anaknya.
Fazil
memeluk tubuh tua Sarimah. Sekali lagi air matanya mengalir perlahan. Namun,
cepat-cepat dikesatnya agar tidak disedari anak bongsunya itu.
“Mak
jangan risau. Fazil harap, suatu hari nanti, Fazil akan dapat seorang isteri
yang sanggup jaga mak. Mak jaga diri elok-elok. Khamis nanti, Fazil akan datang
sini kembali.”
Sarimah
sekadar mengeratkan pelukannya. Dia membelai ubun-ubun Fazil.
“Kalau
diizinkan Allah ayah kau turut membawa mak menemaninya, mak nak kamu berjanji,
jangan jual tanah dan rumah ini. Mak sanggup tanah ini terbiar begitu saja
daripada jatuh ke tangan orang lain,” pesan Sarimah tiba-tiba.
“Apa
yang mak cakap ni? Takkan ada apa-apa yang berlaku. Fazil janji.”
Setelah
menyalami dan meminta diri, Fazil menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar
dari kawasan rumah tersebut dengan berat hati. Mata Sarimah sekadar mengiringi
kepergian anak bongsunya itu.
“Ya
ALLAH, jika sesuatu berlaku kepada aku, kau tolonglah jagai anak-anak aku,”
Sarimah memanjatkan doanya.
Selama
beberapa hari Sarimah berseorangan, dia banyak menghabiskan masanya di tikar
sejadah. Sehinggalah hari yang dijanjikan Fazil untuk datang kembali ke rumah
itu. Selesai sahaja kerja, Fazil lekas bergegas menuju ke rumah ibunya.
Setelah
kereta diparkir di halaman rumah, Fazil cepat-cepat memanjat anak tangga rumah
itu.
“Mak!
Mak!” panggil Fazil. Namun tiada sahutan yang kedengaran.
Fazil
cuba menjenguk ke dapur dan ruang belakang rumah. Namun tiada sesiapa di situ.
Lantas tempat terakhir adalah bilik ibunya. Mana la tahu jika petang-petang
begini ibunya sedang berehat.
Sebaik
sahaja Fazil masuk ke kamar ibunya, dia melihat Sarimah sedang berbaring di
atas sejadah. Tubuh ibunya masih disarungi telekung sembahyang.
“Mesti
mak tertidur selepas Solat Asar ni,” Fazil berkata sendirian sambil menggeleng.
“Mak.
Bangun mak,” Fazil mengejutkan ibunya. Namun tiada balasan daripada Sarimah.
“Mak?”
Fazil terus menggoncang tubuh Sarimah perlahan. Masih seperti tadi.
Fazil
merasakan sesuatu kelainan pada ibunya. Dia menyentuh pipi ibunya. Sejuk.
Diangkat lengan ibunya dan tiada nadi yang berdenyut.
“Mak!!!”
jerit Fazil apabila meyedari Sarimah sudah tidak bernyawa lagi. Hanya jasad
ibunya yang diriba ketika ini.
Cepat-cepat
Fazil mengeluarkan telefon dari poket seluarnya.
“Akak...
Baliklah cepat. Mak dah tak ada.”
“Kau
gila! Jangan nak bergurau,” Hamidah memarahi adiknya.
“Takkan
benda ni pun saya nak bergurau. Cepat la balik. Beritahu abang sekali,” dalam
tangisan, Fazil memaksa kakaknya.
Hamidah
di hujung talian sekadar mendiamkan diri. Dia tidak tahu apa yang dirasakan
kali ini. Namun, dia merasa darahnya mengalir laju. Dia terketar-ketar.
“Mak...”
panggilnya perlahan.
Sementara
itu, Fazil masih lagi meriba ibunya. Dia sekadar meraung memanggil ibunya.
‘Maafkan
Fazil sebab tak mampu jaga mak di saat akhir hidup mak,’ rintih hatinya pilu.